Thursday, January 27, 2011

Bersama | Dato' Dr Haron Din : Bolehkah Mendoakan Agar Penganiaya Ditimpa Bala?

Dato', bolehkah atau tidak dalam Islam, bagi orang yang teraniaya, mendoakan orang-orang yang melakukan penganiayaan itu ditimpa bala oleh Allah SWT, agar menjadi pengajaran kepadanya, juga kepada umum, serta terubatlah jiwa yang teraniaya bahawa Allah telah menolong mereka & mereka berpuas hati dengannya - YANG TERNIAYA, Teluk Wanjah, Alor Setar

JAWAPAN:
Kezaliman dalam apa bentuk sekalipun, diharamkan oleh Islam. Islam menganjurkan kasih sayang & keadilan sesama insan.

Abu Hurairah melaporkan Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): "Sesiapa yang tidak mengasihani, maka dia tidak akan dikasihani oleh Allah." (Hadis riwayat Muslim).


Kezaliman adalah dilarang. Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Jabir bin Abdullah bersabda (mafhumnya): "Jauhilah perbuatan zalim & takutilah balasan Allah pada Hari Kiamat, sesungguhnya, seksa-Nya amat dahsyat." (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT amat melarang perbuatan zalim sesama manusia, lebih-lebih lagi seagama & sebangsa. Firman Allah SWT (Mafhum-Nya): "Adapun seseorang yang melakukan kezaliman, maka Kami (Allah) akan membalasnya dengan seksaan di dunia & di akhirat kelak dikembalikan kepada balasan seburuk-buruknya" (Surah Al-Kahfi, ayat 87).

Dan firman-Nya (mafhum-Nya): "Kemudian dikatakan lagi kepada orang-orang yang berlaku zalim itu:"Rasakanlah azab yang kekal. Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di dunia)." (Surah Yunus, ayat 52)

Bagi orang yang ditimpa kezaliman ke atasnya, Allah SWT memulangkan kepadanya, sama ada bertindak balas dengan melakukan perkara yang sama, atau memaafkan kepadanya, dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, atau mendoakan sesuatu, agar Allah SWT membalasnya.

Allah SWT berfirman (mafhum-Nya): "Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia & bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

"Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar & memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).

"Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapa pun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada Hari Kiamat) berkata: "Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?" (Surah Asy-Syura, ayat 42-44).

Seperti yang diriwayatkan oleh sesetengah ashabus sunan, salam suatu hadis Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): "Takutilah Allah & jangan melakukan kezaliman ke atas manusia, kerana doa orang yang dizalimi tidak ada halangannya kepada Allah SWT & dimakbulkan segera doa itu oleh Allah SWT."

Wallahua'lam.

Sumber : Harakah (bil 1608)

0 comments:

Post a Comment