Friday, January 28, 2011

Bersama | Dato' Dr Haron Din : Pelik Kenapa Unta Nabi Saleh Jadi Mukjizat?

Mukjizat adalah sesuatu yang unik untuk membuktikan benarnya dakwaan seseorang rasul, bahawa dia benar-benar seorang rasul, seperti benarnya tongkat Nabi Musa AS bertukar menjadi ular. Al-Quran juga adalah mukjizat yang tiada tolak bandingannya. Akan tetapi saya pelik, bagaimana unta boleh menjadi mukjizat kepada Nabi Saleh AS. Bukankah unta itu haiwan biasa yang terdapat di mana-mana negeri Arab. bagaimana boleh unta menjadi mukjizat? Tolong Dato' jelaskan - SHAMSHUNNURI SALLEH, Kampung Baru, Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Mukjizat adalah sesuatu yang benar. Ia anugerah Allah kepada setiap Rasul utusan-Nya. Semua mukjizat kepada Rasul adalah sebagai bukti nyata kerasulan mereka pada zaman mereka sahaja.

Setelah mereka kembali kepada Allah, mukjizat itu juga hilang. Melainkan kesan kepada tempat-tempat berkenaan sahaja yang dapat dilihat sehingga ke hari ini. Kecuali al-Quranul Karim, ia mukjizat dari dahulu, kini & selama-lamanya.

Unta Nabi saleh AS adalah mukjizat Allah kepada umat Nabi Saleh AS untuk membuktikan bahawa baginda benar-benar Rasul yang diutuskan.


Ceritanya tertera di dalam al-Quranul Karim, terdapat dalam Surah Al-A'raaf & beberapa surah yang lain. Kesimpulan ceritanya, Nabi Saleh AS menyeru kaum Thamud kepada agama Allah. Menyeru mereka menyembah Allah Yang Esa. Kaumnya ingkar, akhirnya mereka meminta bukti daripada baginda, agar mengeluarkan seekor unta betina yang bunting 10 bulan dari sebuah batu besar di tepi sebuah bukit.

Mereka mensyaratkan pula kepada Nabi Saleh AS, unta itu setelah keluar dari batu besar, melahirkan anaknya di hadapan mereka. Unta itu pula hendaklah meminum dari perigi yang ada di tempat tersebut.

Setelah minum dari perigi tersebut, hendaklah dianya mengeluarkan susu, yang sebanyak mana air diminum. Dengan itu  susu unta boleh diminum oleh seluruh penduduk kampung.

Permintaan kaum Thamud itu ditunaikan oleh Allah SWT kepada Nabi-Nya seperti yang mereka minta. Allah SWT menceritakan perihal ini di dalam al-Quran: "Nabi Saleh berkata: "Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, & bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.


"Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru haranya)."

"Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana)." (Surah ash-Shu'araa ayat 155-158)

Kemukjizatan unta itu adalah daripada kisah lahirnya. Ia tidak beribu atau berbapa. Ia lahir daripada seketul batu besat, atas cabaran kaum Nabi Saleh AS.

Lahirnya pula dengan secara tiba-tiba. Mereka meminta yang bunting. melahirkan anak di hadapan mereka. Meminum air yang mereka tetapkan & mengeluarkan susu yang banyak . Semuanya berlaku.

Nabi Saleh AS mengingatkan kaumnya bahawa ini adalh unta Allah SWT. Maksudnya unta khusus sebagai anugerah Allah SWT sebagai mukjizat kerasulannya. Nabi Saleh AS mengingatkan jika mereka menyakitinya, kelak bala Allah akan turun menimpa mereka.

Kaum Thamud membunuhnya, maka bala Allah pun turun. Itulah mukjizat unta yang boleh dijadikan renungan, bahawa Allah SWT berkuasa apa sahaja untuk mengemukakan bukti benarnya Rasul utusan-Nya, dengan mukjizat yang diberikan kepada Nabi-Nya, tidak ada mana-mana insan atau makhluk yang boleh menyamai atau meniru keadaan tersebut.

Itulah dia mukjizat unta yang dipanggil unta Allah & ia adalah suatu mukjizat yang membuktikan benarnya kerasulan Saleh AS.

Wallahua'lam.

Sumber : Harakah (bil 1585)

0 comments:

Post a Comment