Sunday, January 30, 2011

Bersama | Dato' Dr Haron Din : Zalim Jika Tidak Berhukum Dengan Hukum Allah

Dato', merujuk kepada soalan & jawapan Dato' dalam Harakah yang baru lalu mengenai orang zalim yang boleh didoakan ke atas mereka supaya ditimpa balasan. Justeru, saya ingin bertanya apakah sesiapa pun, misalnya pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah SWT dikira zalim, dan hukuman terhadap mereka. sama dengan hukuman yang Dato' sebutkan sebelum ini? - MOHD YATIM MOHD SIDI, Parit Buntar, Perak

JAWAPAN:

Penjelasan saya dalam keluaran yang lalu, berdasarkan hujah yang kukuh & knkrit, bahawa Allah SWT amat melarang kerja zalim.

Kezaliman itu luas maknanya. Kebiasaannya orang ramai merujuk zalim kepada perbuatan menganiaya ke atas batang tubuh manusia, atau harta atau maruahnya secara khusus.


Adapun yang umum daripada itu, perbuatan zalim boleh berlaku, seperti yang anda sebut dalam soalan, mana-mana pemerintah termasuk dalam kategori zalim, jika pemerintah dengan tidak adil, pilih kasih, mengamalkan nepotisme & kronisme & sebagainya.

Paling jelas sekali, al-Quran menyebut tentang pemerintah yang sengaja menolak hukum Allah SWT & tidak suka kepada hukum itu, dengan pelbagai alasan menolaknya.

Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah (SWT), maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (Surah al-Maidah ayat 45).

Dia zalim kepada dirinya sendiri, kerana melakukan kerja yang dilarang oleh Allah SWT & Allah SWT menjanjikan balasan buruk kepadanya supaya dia tidak melakukan kerja zalim.

Allah SWT memerintahnya & kita semua melaksanakan hukum Allah SWT. Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (SWT) & janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, & berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah (SWT) kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah), maka ketahuilah, hanyasanya Allah (SWT) mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; & sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang fasik.


"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah (SWT)." (Surah al-Maidah ayat 49)

Selain daripada kezaliman kepada diri sendiri, kerana mengundang kemurkaan Allah SWT di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana sengaja menyanggahi hukum-hukum Allah SWT, pemerintah juga melakukan kezaliman ke atas rakyatnya, kerana tidak melakukan yang terbaik ke atas mereka.

Yang terbaik adalah yang datang daripada Allah SWT. Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum (undang-undang) yang lebih pada daripada Allah (SWT)." (Surah al-Maidah ayat 50)

Sebagai seorang Islam, yang beriman dengan Allah yang Maha Sempurna, pastinya Allah SWT tidak akan melakukan sesuatu yang ada kekurangan atau cacatnya.

Maha Suci Allah, semua yang dilakukan-Nya adalah sesuai dalam semua keadaan.

Oleh itu, hukum Allah SWT adalah hukum yang paling cantik & sesuai untuk manusia sekalian. Meninggalkan hukum-hukum tersebut bererti kita melakukan kezaliman kepada semuanya.

Sesiapa sahaja yang zalim, pasti akan menerima balasan Allah SWT, sama ada didoakan ke atasnya atau tidak.

Tetapi jika dengan doa, lebih-lebih lagi doa orang yang dizalimi, seperti yang saya sebut dahulu, Allah SWT tidak akan menolaknya & Allah SWT akan menyempurnakan hajat mereka yang bersungguh-sungguh meminta ke hadrat Allah SWT.

Wallahua'lam.

Sumber : Harakah (bil 1610)

0 comments:

Post a Comment