Sunday, February 6, 2011

BERSAMA | Dato' Dr Haron Din : Ada Atau Tidak Titian As-Sirat?

Nota sisipan : Sila ke akhir artikel ini untuk muat turun atau mendengar terus ulasan Tuan Guru Ustaz Dato' Dr Haron Din berkenaan tajuk di atas ketika mengupasnya sewaktu kuliah tasawwur islam @ Masjid negeri pada 7hb Januari 2011 yang lalu.

Dato', sudah banyak kali saya dengar, orang yang ada ilmu menyebutkan bahawa Titian Siraatal Mustaqim, yang pernah dikatakan ada di atas Neraka Jahannam untuk dilalui itu, kata mereka tidak ada atau tidak sabit ada. Sedangkan kebanyakan orang berpegang dengan adanya titian tersebut. Saya agak keliru & bingung, apa nasihat Dato' & apa pandangan Dato'? - NURUDIN ISA, Kampung Pandanm KL

JAWAPAN:

Saya nasihatkan agar perkara-perkara ghaibiyat sebegini, jangan dijadikan isu.

Ada atau tidak ada Titian Siraatal Mustaqim, di atas Neraka Jahannam itu, serahkan kepada ahli-ahlinya untuk memutuskannya.

Yang penting, kita perlu yakin ada Hari Akhirat - hari pembalasan ada. Syurga Neraka ada. Tengoklah nanti, setelah kita dibangunkan di Akhirat, ada atau tidak ada.

Jika ada, kita akan lintasinya. Jika tidak adapun pasti kita dimasukkan ke Syurga atau ke Neraka, wal'iyazubillah.

Oleh kerana persoalan sedemikian, saya pun pernah ditanya dalam ceramah-ceramah & ada yang telefon & SMS. Maka saya terpanggil untuk menjawabnya.

Pada pengetahuan saya, sirat atau titian di atas Neraka Jahannam, untuk dilalui adalah benar wujud - tanpa sebarang keraguan.

Bagi yang mengatakan tidak wujud, saya hormati pandangan mereka, mungkin mereka mempunyai hujjah yang tersendiri. Adapun hujjah saya, saya sandarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah & ijmak ulama.

Kita berbeza hanya pada tafsiran & kefahaman sahaja. Sumber ambilan hukum adalah sama. Perkara ghaib atau ghaibiyat, mestilah pegangannya berdasarkan kepada Al-Quran & As-Sunnah.

Di dalam Al-Quranul Karim, Allah SWT berfirman (mafhum-Nya): "Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.


"Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, & kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya & maksiatnya) tinggal berlutut di dalam Neraka itu." (Surah Maryam, ayat 71 - 72)

Di dalam Tafsir Al-Qurtubi, juzuk 11 halaman 136, ketika membuat tafsiran ayat di atas ada disebutkan : "Perkataan wariduha di dalam ayat di atas, menurut firqah uama, adalah melintasi laluan As-Sirat di atas Neraka."

Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "(Mata hati orang-orang yang menderhaka itu rosak) & kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk & biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

"Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) & kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan & juga tidak dapat undur ke belakang." (Surah Yaasin, ayat 66-67)

Di dalam Tafsir Al-Qurtubi juga, pada juzuk 15 halaman 50, ada disebut yang bermaksud: "Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Salam, membuat tafsiran ayat  di atas dengan katanya yang bermaksud: "Di Hari Kiamat, Titian As-Sirat, dibentangkan di atas Neraka, lalu seruan dilaungkan agar Nabi Muhammad SAW & umatnya melintasi Sirat itu terlebih dahulu. Apabila mereka berada di atas Titian As-Sirat itu, yang menderhaka Allah SWT di kalangan umat Muhammad SAW, akan dibutakan mata mereka, meraba-raba di dalam kegelapan & terjatuh ke dalam Neraka. Sedangkan yang beriman, terselamat daripadanya."

Dalam hadis Sahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda dengan jelas (mafhumnya): "kemudian, dijadikan Allah SWT (al-Jisru), iaitu laluan atau jambatan di atas Neraka Jahannam. Lalu ditanya kepada Rasulullah SAW, apakah itu al-Jisru? Jawab Baginda SAW, itu adalah laluan yang akan mudah tergelincir kaki & jatuh ke bawah. Tetapi akan terselamat orang yang benar-benar imannya, & akan tergelincir jatuh ke Neraka orang yang menderhakai Allah SWT."

Di dalam Kitab al-Aqidah al-Islamiyyah wa Khususuha karangan Abdul Rahman Hassan al-Maidani, di halaman 659 (kitab yang amat tebal), ada tajuk besar 'As-Sirat' (Titian), diulas panjang lebar & dengan jelas.

Pengarang mengatakan, "As-Sirat (Titian) wujud. Ia adalah laluan di atas Neraka Jahannam. Semua manusia pasti melaluinya. Orang mukmin yang benar imannya, merentasi sirat itu dengan laju & mudah. Yang derhaka kepada Allah SWT, yang kufur, akan jatuh ke dalam Neraka."

Beliau berhujjah dengan ayat 71 dan 72 (daripada) Surah Maryam yang saya sebutkan pada awal-awal tadi.

Al-Imam An-Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Syarah Muslim menyebutkan: "Sesungguhnya, telah berijmak ulama salaf tentang wujudnya As-Sirat iaitu suatu jisr (jambatan) atas Neraka yang akan dilalui oleh ke semua manusia, al-mukminun terselamat, yang lainnya terjatuh ke dalam Neraka."

Itulah pandangan & pilihan saya dalam permasalahan ini.

Wallahua'lam.

Sumber : Harakah (Bil 1612)



0 comments:

Post a Comment