Monday, February 14, 2011

Bersama | Dato' Dr Haron Din : Benarkah Alam Semesta Dicipta Dalam 6 Hari?

Dato', selalu kita dengar di khutbah-khutbah Jumaat atau guru-guru agama mengatakan, ayat Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT menciptakan alam semesta ini dalam 6 hari. Adakah 6 hari itu seperti hari-hari kita sekarang, iaitu dikira dengan 24 jam sehari semalam? Jika 6 hari bererti bumi ciptakan dalam tempoh 144 jam. Apakah itu masa sebenar Allah SWT menciptakan alam semesta atau bagaimana? Mohon penjelasan Ustaz - SAMINGAN SAMINGUN, Parit Jawa, Johor

JAWAPAN:

Allah SWT mengatakan di dalam al-Quranul Karim menerusi firman-Nya (mafhum-Nya): "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit & bumi dalam 6 masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringi dengan deras (silih berganti) & (Ia pula yang menciptakan) matahari & bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) & urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta & mentadbir sekalian alam." (Surah Al-A'raf ayat 54)

Yang nyata Allah SWT menyebut, alam semesta ini, Allah ciptakannya dalam 6 hari. Hari tersebut pastinya bukan seperti hari-hari kita di dunia sekarang, yang diukur dengan kadar 24 jam sehari, seperti yang anda sebut dalam soalan anda.

6 hari tersebut adalah dari hari-hari Allah SWT.


Hari Allah SWT disebut dalam ayat lain, sebagaimana firman-Nya (mafhum-Nya): "Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad SAW) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah SWT  tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada mereka): Sesungguhnya satu hari daripada hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai 1,000 tahun daripada yang kamu hitung." (Surah al-Hajj ayat 47)


Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Yang dilalui oleh malaikat-malaikat & Jibril ke pusat pemerintahannya (untuk menerima & menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang saleh) sungguh panjang seolah-olah 50,000 tahun, (kerana banyak hitungan hisab & berat soal jawabnya)." (Surah al-Ma'arij ayat 4)

Melihat ayat-ayat sedemikian, kita boleh memahaminya bahawa istilah 'yaum' yang dimaknakan dengan hari, disebut di dalam Al-Quran berkali-kali, tidak dirujukkan kepada hari kita di bumi ini.

Malah dirujukkan kepada hari-hari Allah, seperti hari di hari kiamat, hari di dalam Syurga, hari di dalam Neraka, hari di hari Mahsyar & sebagainya.

Hari-hari tersebut, panjang pendeknya tidak boleh disamakan dengan hari di dunia, kerana hari dunia bergantung kepada peredaran matahari & bumi.

Sedang pada Hari Kiamat, bumi & matahari itu lenyap, hilang & binasa.

Allah ciptakan alam baru yang amat besar & amat luas. Hari-hari tersebut adalah relatif bagi kita. Dan panjang pendeknya tertakluk di mana kita berada.

jika kita berada di atas bumi, yang ukuran lilitan pusatnya sejauh 24,000 batu yang berputar sejauh 1,000 batu 1 jam, maka ianya akan melengkapi 1 pusingan dalam masa 24 jam atau sehari semalam.

Jika kita berada di planet yang lebih besar, katakanlah ukuran lilitan pusatnya 100,000 batu, dan putarannya juga 1,000 batu sejam, maka satu pusingannya akan mencapai 100 jam, atau 4 hari lebih.

1 hari adalah masa yang relatif. Oleh itu hari yang disebut oleh Allah SWT, dalam menciptakan kejadian langit & bumi adalah masa yang amat relatif. Apa yang penting untuk kita fahami, bahawa Allah SWT menciptakan dunia ini berperingkat-peringkat.

Ayat yang saya paparkan di atas bermaksud, Allah SWT menciptakan dalam 4 peringkat, bukan sekaligus. Allah SWT boleh menciptakannya dengan 'kun faya kun' tetapi Allah SWT tidak menciptakannya sedemikian bagi menyatakan Allah SWT menjadikan semuanya dengan perancangan yang sangat teliti.

Lalu disebutkan bahawa 6 hari itu, adalah untuk menyebutkan 6 peringkat masa yang dilalui oleh proses penciptaan alam semesta. Wallahu a'lam.

Sumber : Harakah (bil 1614)

0 comments:

Post a Comment