Tuesday, February 15, 2011

Seandainya Rasulullah SAW Mengunjungi Anda


Untuk bahan renungan pada bulan Maulid Rasul SAW

Oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis
   
Setiap mukmin mencintai Allah SWT, mencintai Rasulullah SAW, mencintai para solihin, mencintai perkara yang memupuk cinta Ilahi yang hakiki. Kecintaan kepada Rasulullah SAW dapat dilihat dari iltizam dan kecintaan si mukmin terhadap sunnah dan ajaran baginda. Tulisan ini cuba mengajak pembaca mengetahui tahap kecintaannya kepada Rasulullah SAW. Buah fikiran ini berasal dari puisi bertajuk ‘If The Prophet visited you?’ diolah menjadi prosa berbahasa Arab (Oleh : Abd Karim Khatib) bertajuk تَخَيَّلْ لَوْ yang bermaksud ‘Seandainya Rasulullah SAW mengunjungi anda’. Puisi dan prosa ini banyak mendapat sambutan para pembaca di internet. Wallahul muwaffiq!
 
Cubalah bayangkan wahai saudara tercinta, seandainya anda sebentar lagi akan dikunjungi oleh Nabi Muhammad saw dalam satu kunjungan yang belum anda persiapkan sebelumnya. Apakah gerangan yang akan anda lakukan? Nabi Muhammad SAW dalah sebaik-baik hamba Allah yang berjalan di permukaan bumi. Lebih baik dan lebih mulia dari semua kepala negara dan para pemimpinnya. Lebih baik dari para barisan pemikir dan golongan genius. 
Nabi Muhammad SAW adalah Khalilur Rahman (kekasih dan kesayangan Allah yang bersifat al-Rahman),  Baginda akan mendatangi anda di kediaman anda sendiri. Cubalah fikirkan sekarang, apakah yang akan anda lakukan wahai si miskin atau  si kerdil? Apakah anda akan terus berlari menuju pintu dalam keadaan genangan airmata sambil memberi senyuman dalam suasana yang tidak mungkin akan anda lupakan, seraya berkata “Rasulullah saw sedang berada di rumahku, yakni suatu hari yang paling bahagia dalam kehidupanku”.
Ataukah tulang-tulang sendi anda sendiri akan menggeletar ketakutan, lalu anda segera berlari menuju bilikmu sendiri untuk menyimpan kaset dan cd (cakera padat) yang mengandungi lagu-lagu Arab (Melayu) dan Inggeris, agar anda menukarkannya dengan kaset-kaset Al-Quran, zikir dan ceramah agama?
Adakah anda akan menyembunyikan berbagai cd video murahan (lucah)? Dan apakah anda akan membuang berbagai gambar artis dan penari yang digantungkan di dinding, dan yang memenuhi laci-laci meja (dan almari)?, yang mana Rasulullah SAW memang tidak menyukainya?  

Dan apakah anda mempunyai masa yang cukup agar anda dapat memiliki dan memelihara janggut dengan baik. Dan akan anda perlihatkankah siwak (sugi) sebagai ganti berus gigi. Dengan tujuan membesarkan dan memuliakan sunnah Nabi Muhammad, dan sebagai bukti bahawa anda betul-betul mengambil berat tentang (cara hidup) Rasulullah saw.

Wahai wanita dan puteri-puteri srikandi Islam, bagaimanakah sikap anda semasa mengahadap Rasulullah SAW? Apakah anda akan memakai pakaian (hijab) menurut syarak, yang mana anda sendiri sejak beberapa tahun masih ragu-ragu untuk membuat keputusan memakainya. Seakan-akan ianya merupakan suatu kecacatan pada pandangan anda.

Adakah anda akan menghadapi Baginda dengan rambut yang terdedah, pakaian yang ketat, dan wajah yang dipenuhi pelbagai alat solek ? Akan kenalkah Rasulullah SAW melalui pakaian dan penampilan anda bahawa penghuni rumah (yang sedang dikunjungi Baginda) tersebut adalah seorang wanita Islam? Ataukah Baginda akan merasa ragu-ragu bahawa Baginda barang kali telah tersilap kerana mengetuk pintu rumah salah seorang pelakon Eropah yang tak terdapat sedikitpun padanya petanda keiltizamannya dengan ajaran Islam ? 

Apakah anda akan bergegas (di hadapan Rasulullah SAW) menghormati dan memuliakan kedua dan anda akan memanggil mereka dengan panggilan dan cara yang paling mereka sukai. Dan jika  orang tuamu menyuruh melakukan sesuatu anda lalu akan mentaatinya.  Ataukah anda akan memperlakukan mereka sepertimana yang anda lakukan selama ini sebelum kunjungan Baginda, lalu anda berteriak, menengking dan menentang semua perkataan mereka tanpa mempedulikan perintah Allah dan perintah Nabi-Nya, Muhammad SAW. 

Apa sikap anda jika Baginda berkata “Saya tidak akan menanyamu mengenai solat Subuh yang anda tunaikan, bukan pula mengenai solat berjamaah di masjid, demikian juga mengenai qiyamullail; kerana memang telah jelas hal ini adalah merupakan perkara asas yang utama dalam kehidupan hamba mukmin. Bukankah demikian ?” 

Bagaimanakah perasaan anda mendengar perkataan Baginda? “Segan, malu dan sedih?”. Ataukah anda akan menutupi hal ini semuanya dengan senyuman nifaq yang berpura-pura setuju (atas apa yang Baginda katakan)? 

Apakah sekiranya bila Baginda tahu bahawa anda belum pernah solat Subuh berjamaah sejak beberapa bulan, dan anda merasa bangga di kalangan teman-teman anda bahawa anda baru pernah satu kali sahaja membaca Al-Quran selama hidupmu? Lalu apakah gerangan respon Baginda terhadap anda? Apakah Baginda akan berkata bahawa “Anda adalah kebanggaan Islam dan umat”. Ataukah wajah Baginda akan merah-masam kerana marah, lalu Baginda akan pergi dari tempat anda? 

Apakah tajuk pembicaraan anda  bersama Baginda? Apakah mengenai penderitaan dan kesengsaraan umat Islam di seluruh dunia akibat perlakuan zalim dan penindasan. Ataukah mengenai “ilmu agama”, sejarah umat Islam, dan mengenai peri pentingnya usaha mengenai kebangkitkan umat dan memajukan mereka dalam bidang agama dan keduniaan secara teori dan praktikal?  

Ataukah anda akan berbual dengan Baginda mengenai teman wanita anda yang mana anda sering berbicara dengannya dalam telefon, dan ia pernah anda bawa ke kelab dan pusat hiburan? Ataukah mengenai berita terkini tentang kumpulan penyanyi terkenal di USA bintang filem yang top di Mesir, cerita rambut pemain bola yang terkenal dari Itali, perlawanan bola sepak dan keputusannya yang terkini? Ataukah mengenai restoran terkini yang menyajikan pelbagai jenis khamar dan minuman memabukkan. Dan mengenai kejayaan anda menubuhkan “satu kumpulan” yang bergiat dalam keruntuhan moral dan mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat di kawasan kediaman anda? Di mana hal ini semuanya bercanggah dengan sunnah Baginda saw.

Saudara tercinta, dapatkah anda bayangkan sikap anda sekarang terhadap apa yang tertera ini? Ataukah anda hanya dapat membaca gubahan kata ini sepintas lalu sahaja? Adakah anda memiliki perasaan menyesal atas sikap dan kecuaian anda selama ini? Adakah anda memang masih belum siap untuk didatangi oleh Baginda dalam satu kunjungan singkat secara mengejut? 

 Apakah gerangan yang membuat anda masih lengah dan lalai? Apalah yang telah berlaku ke atasmu wahai saudara tercinta? Lupakah anda bahawa Allah swt tetap memantau, mengamati, menilai, dan membalas  segala perbuatan dan tingkah laku si hamba siang-malam. Pandangan Allah tidak pernah lengah dan lalai dan tidak pernah tidur. 

Allah SWT membuka dan memberi peluang  keampunan di malam hari  agar hamba yang melakukan kesalahan di siang hari bertaubat dan kembali kepada-Nya. Allah membuka peluang keampunan di siang hari agar hamba yang terdedah melakukan kesalahan di waktu malam hari bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Dalam pada itu, Tuhan Yang Maha Pengasih-Penyayang memberi tawaran istimewa di sepertiga malam terakhir seraya berkata: “Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin bertaubat supaya Aku menerima taubatnya. Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin memohon keampunan supaya Aku memberinya keampunan. Adakah di kalangan hamba-Ku yang ingin berdoa dan meminta (sesuatu) supaya Aku memberinya”? 

Saudara, alangkah kasar dan kerasnya hati anda. Alangkah tandusnya hati anda. Sebenarnya anda mengejar kehidupan dunia sedangkan ia sendiri lari meninggalkan anda. Anda berpaling dan mengabaikan Allah yang membukakan seribu satu pintu maghfirah, bagi anda supaya anda bertaubat dan bermunajat kepada-Nya.   

Saudara, sesuatu yang tidak perlu diragukan lagi bahawa anda kelak akan teringat kandungan risalah ini pada hari kiamat kelak. Di mana pada saat itu anda hanya akan jadi salah satu dua golongan. Pertama golongan yang sampai kepadanya risalah ini lalu kandungannya telah mengubah cara hidupnya ke arah yang lebih baik dan lebih cerah. Kedua golongan yang diliputi penyesalan yang dahsyat disebabkan ia telah menerima risalah ini tetapi ia tidak mempedulikan dan tidak mengindahkannya. Bahkan risalah ini akan menggugat dan menghujahnya pada hari pembalasan. 

Bersegeralah, dan cepatlah bertaubat, sebelum masanya terlambat. Allah swt mengingatkan para hamba-Nya: 
“Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya). Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al Qur'an pun yang baru (diturunkan) dari Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main, (lagi) hati mereka dalam keadaan lalai” (Surah Al-Anbiya 1-3) 

Allah menjanjikan bagi mereka yang bertaubat, 

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh; mereka itu diganti Allah kejahatan mereka dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Yakni,  sesiapa bertaubat dan beramal saleh, maka sungguh ia benar-benar bertaubat kepada Allah dengan taubat yang betul.’ (Surah al-Furqon (25) 70-71).
Bandar Baru Bangi, Selangor DE
Alihbahasa: Ahmad Asri Lubis
(Rabiul Awwal 1432 / Feb 2011)



0 comments:

Post a Comment